STRES


Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.

Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.

Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.

Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.

Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.

Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.



Bila berada dalam keadaan tertekan, tubuh badan bertindak seperti berikut:
1) Otot-otot menjadi lebih penuh dengan darah kerana saluran darah sempit dan meningkatkan tekanan darah
2) Peredaran darah berubah. Bekalan darah berlebihan di dalam perut dan usus segera dikurangkan untuk beri laluan kepada keutamaan lain. Ini menyebabkan sistem penghadaman terjejas apabila tubuh mengalami tekanan.
3) Tekanan berpanjangan menyebabkan otot berkaitan mengalami kesakitan. Kesannya pening kepala atau migrain, sakit ditengkuk dan bahu serta sakit bahagian belakang badan.
4) Mengerutkan wajah bila stress boleh menjadikan kulit muka lebih mudah kendur dan berkedut. Terlalu berkerut untuk memikirkan masalah sehingga boleh menjadikan kulit muka lebih tua sebelum waktunya.




Karangan perbincangan" cara-cara untuk mengatasi stres"
`

Karangan Fakta

Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul.

Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stres

   Stres atau tekanan ialah gangguan emosi  dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres  yang keterlaluan amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab itu kita perlu mengatasinya dengan betul.

     Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.

     Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik  yang selesa dan kemas. Sekiranya  bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita merasa tertekan dan tidak selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan  berkualiti. Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.

Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini akan  menyebabkan stres atau tekanan.

    Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi, lama-kelamaan ia akan  menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini,  Ibu bapa kita sudah pasti mempunyai  banyak pengalaman untuk membantu kita mengatasi sesuatu  masalah.


    Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.


Keadaan atau masa yang menimbulkan stres selalu terjadi dalam kehidupan kita seharian. Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan gaya hidup di dunia moden yang serba pantas ini.
Adakah anda tahu mengenai pelbagai kesan stres ke atas sistem tubuh kita? Ia boleh merosakkan beberapa sistem. Ia malah mampu melemahkan tubuh kita hingga ke satu tahap di mana sistem imun berputus asa.Daripada hanya membaca maklumat ini begitu sahaja, adalah penting untuk kita mengambil pendirian. Buatlah keputusan untuk membuat apa saja yang terdaya untuk mengurangkan kesan buruk stres. Stres boleh membunuh, justeru jangan biarkan ia membunuh anda atau orang yang anda sayangi. Individu yang mengalami stres sentiasa kehilangan tenaga yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Jika ini berlaku, ianya boleh menyemai sikap negatif dalam kehidupan mereka. Kemurungan akan berlaku dan mencetuskan kesan negatif kepada kehidupan individu berkenaan.
Kegagalan menangani stres juga boleh membawa kesan buruk ke atas kesihatan seseorang. Lazimnya sistem imun dapat mempertahankan tubuh dari penyakit. Namun begitu, stres boleh melemahkan sistem imun. Jika ini berlaku, individu berkenaan akan lebih mudah mendapat penyakit berbahaya seperti kanser dan masalah jantung. Pada masa yang sama, jika dia sedang berhadapan dengan masalah kesihatan, ianya boleh memburukkan lagi keadaan.
Kita tahu  penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di dunia. Sebahagian dari simptom atau pertanda penyakit jantung mempunyai kaitan dengan stres. Peningkatan tekanan darah yang mendadak dan debaran jantung berterusan adalah antara tanda-tandanya. Berasaskan fakta-fakta tersebut, adalah penting untuk seseorang untuk berbuat sesuatu sekiranya mereka mendapati diri mereka tidak berupaya menangani stres. Mereka perlu mengatasi masalah tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa stres

Cara Mudah untuk Mengatasi Stres

Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan buruk stres. Dengan mengamal langkah-langkah berikut, risiko untuk mendapat kesan buruk stres dapat dikurangkan.
1. Pemakanan yang Betul
Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12), asid folik dan mineral.
2. Jangan Membebankan Diri
Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan meringankan beban tubuh dan minda kita.
3. Berehat
Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika. Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak. Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang.
4. Berinteraksi dengan Famili dan Rakan
Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.
Badan manusia mempunyai system tindakbalas kompleks yang mengawal rembesan cortisol dan mengawal jumlah cortisol dalam saluran darah. Kelenjar pituitary, satu kelenjar kecil yang terletak di bawah otak, menghasilkan dan merembeskan hormone yang dikenali sebagai adrenocorticotropic atau ACTH. Rembesan ACTH menjadi isyarat kepada kelenjar adrenal untuk meningkatkan penghasilan dan rembesan cortisol. Kelenjar pituitary pula mendapat isyarat dari bahagian hypothalamus otak dalam bentuk hormone CRH (corticotrophin-releasing hormone) untuk merembeskan ACTH.
Hampir serta-merta selepas berlakunya stress, tahap hormone ACTH dan CRH akan meningkat, menyebabkan peningkatan serta-merta tahap cortisol. Apabila jumlah cortisol tidak mencukupi atau berlebihan, system tidakbalas badan akan bertindak ke atas kelenjar pituitary dan hypothalamus dan memberi isyarat untuk mengurangkan pengeluaran ACTH dan CRH.


CARA-CARA ANDA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES


Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza  tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan  sehingga tekanan yang dihadapi  itu  membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
             
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan  tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya  memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya  sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut.  Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi.  Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah  muzik seperti memiliki kuasa magis  yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi.Setiap hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri  saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh  seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang

Comments

Post a Comment

Popular Posts